22 May 2016

RINGGIT COST AVERAGING

KEBAIKAN RINGGIT COST AVERAGING (RCA)

Dalam entri pertama saya mengenai Unit Amanah, saya ada sebut yang Unit Amanah mengamalkan konsep Ringgit Cost Averaging (RCA).


BENDA APA RCA TU?

Ringgit Cost Averaging (RCA) atau dalam bahasa Melayunya Kos Pemurataan Ringgit adalah salah satu teknik yang digunapakai secara meluas di dalam industri unit amanah. Ia melibatkan jumlah pelaburan yang tetap secara bulanan, tahunan atau berdasarkan keadaan pasaran saham semasa. Teknik ini akan digunakan terutamanya ketika harga dana lebih rendah di mana pelabur dapat mengambil kesempatan ini untuk menambahkan jumlah unit dengan membelinya pada harga yang murah/rendah. Ketika pasaran kembali naik, unit-unit ini kemudian dijual untuk mendapatkan untung dengan lebih cepat.

Melabur akan menjadi begitu mudah kalaulah kita boleh meramalkan bilakah masa terbaik untuk membeli atau menjual. Walau bagaimanapun, meramalkan masa yang sesuai untuk melabur dalam pasaran adalah mustahil dan ramai yang telah mengalami kerugian besar kerana mencubanya dan gagal. Salah satu cara untuk mengharungi naik turun pasaran saham yang sentiasa berlaku ini ialah dengan menggunakan kaedah Ringgit Cost Averaging (RCA). 

Tujuan kita melakukan RCA ini adalah untuk mengurangkan kos asal pembelian kita di samping mempercepatkan masa serta sudah tentu untuk mendapatkan keuntungan yang maksimum.

Sebenarnya dalam keadaan pasaran yang lemah di mana kebanyakan harga setiap unit akan jatuh itulah kita sepatutnya menambahkan lagi pembelian dan bukannya menjauhkan diri. Apa yang penting ialah kita memilih dana yang betul, selepas itu teruskan melabur secara tetap tanpa mengira harga sedang naik atau turun.

Ambil contoh yang mudah, andaikan anda suka membeli baju. Waktu bilakah anda akan membeli baju baru? Semasa jualan murah, beli 2 pada diskaun 50% atau beli sehelai pada harga biasa? Sudah tentulah semasa jualan murah kan.. anda akan dapat 2 baju pada harga yang sama anda beli sebelum itu.

BAGAIMANA RCA BERFUNGSI?


“Simpan sedikit simpan selalu – RCA berkesan jika anda terus menggunakannya.”
– Paul Clitheroe, “Ten Key Steps to Wealth”, 2002.

Untuk menjelaskan RCA secara mudah... 
Contoh : kita hendak menyimpan RM12,000 setiap tahun untuk tabung persaraan kita. Daripada melaburkan jumlah ini sekaligus dan menanggung risiko memasuki pasaran ketika harganya melambung, kita mengambil keputusan untuk melaburkan sebanyak RM1,000 dalam dana unit amanah setiap bulan seperti yang ditunjukkan dalam carta berikut: 



Keputusan

Kos Purata Seunit RM0.1923 [jumlah (b)/12 bulan]
Harga Unit pada Disember RM0.2510
Nilai Pelaburan pada Disember RM15,664.48 [62,408.28 x RM0.2510]

Dalam contoh ini, dengan menggunakan kaedah RCA, kos purata seunit yang dilaburkan hanyalah RM0.1923, dan bukannya RM0.2549 jika pelabur melaburkan jumlah sekali gus pada bulan Januari.

Jumlah unit yang diperolehi dengan jumlah pelaburan RM12,000 secara RCA adalah sebanyak 62,408.28 unit berbanding dengan jika jumlah pelaburan secara ‘lump sum’ dalam bulan Januari sahaja sebanyak RM12,000 adalah sebanyak 47,077.28 unit sahaja yang dibeli dengan harga RM 0.2549/unit. Ini baru pelaburan untuk setahun. Jika diteruskan selama 3 tahun atau lebih, lebih banyak unit akan kita dapat.

Apabila harga dana lebih tinggi, pelaburan tambahan akan membeli bilangan unit yang lebih kecil tetapi apabila harga lebih rendah, jumlah wang yang sama membolehkan anda membeli lebih banyak unit. Apa yang tersirat daripada pendekatan ini adalah, pada sesuatu masa, pasaran akan pulih kerana ia bergerak mengikut kitaran dan pada ketika inilah keuntungan boleh diambil.

Contoh lagi :

Harga dana A pada 1/4/09 = RM1.00 seunit
Jumlah simpanan pertama = RM 100,000
Jumlah unit diperolehi (a) = 100,000 unit

Manakala

Harga dana A pada 1/12/09 = RM0.90 seunit
Tambahan simpanan dibuat = RM100,000
Jumlah unit diperolehi (b) = 111,111.11 unit

Jumlah unit dana A sekarang = (a) + (b)
=100,000 + 111,111.11 = 211,111.11 unit.

=============================================

SIMPANAN berjumlah RM200,000 yang dibuat pada 1 April 2009 & 1 Disember 2009 memberikan kita jumlah UNIT sebanyak 211,111.11 unit >>>>> Dapat lebihan 11,111.11 unit..!!!

=============================================

Kos asal seunit = RM1.00
Kos kedua seunit = RM0.90

Kos terkini = Modal/jumlah unit

=RM200,000/RM211,111.11 unit
=RM0.9474 seunit..!!!

Maka, untuk mendapatkan capital gain 10%, kita hanya perlu tunggu harga pasaran naik 10% dari RM0.9474 iaitu kepada RM1.0421 dan bukan menunggu sehingga RM1.10 untuk mendapatkan 10% dengan harga pasaran RM1.00.

Ok, dalam kes ini, penyimpan akan mendapat keuntungan sebanyak RM219,998.89 apabila harga pasaran dana A RM1.0421 seunit. (RM1.0421 x 211,111.11 unit=RM219,998.89)

Jika tidak dilakukan RCA ini, maka pelabur perlu menunggu harga RM0.90 naik ke RM1.10 bagi mendapatkan keuntungan 10% itu tadi. Dengan RCA, anda tidak perlu menunggu tempoh yang lama untuk mendapat keuntungan. Maksudnya, tidak perlu menunggu harga naik RM1.10 tapi pada RM1.0421 sahaja pun kita telah mendapat capital gain 10%. Kalau harga naik RM1.10, lebih dari 10%++ la jawabnya..:)

STRATEGI PELABURAN JANGKA PANJANG 


“Disiplin adalah kunci kejayaan untuk pelabur jangka panjang. Dia tidak boleh jatuh ke dalam perangkap menguruskan pemegangannya berpandukan tajuk berita akhbar, petikan, ramalan tanpa menggunakan fikiran, gerak hati atau keputusan tempoh yang lepas.”
– Frank Armstrong, pengarang “The Informed Investor.”

Walau berapa pun jumlah wang yang dilaburkan, RCA adalah strategi jangka panjang. Meskipun pasaran kewangan cenderung untuk turun naik, namun ia selalunya bergerak dalam arah yang sama dalam tempoh masa yang agak panjang.

Pasaran turun dan pasaran naik boleh berlanjutan selama berbulan-bulan, bahkan adakalanya bertahun-tahun. Disebabkan arah aliran ini, RCA tidak akan cukup berkesan jika digunakan untuk jangka pendek sahaja.

Sebagai contohnya, pelabur mungkin memilih untuk membuat 10 pembelian dana unit amanah dalam sebulan. Walaupun kemungkinan besar harga belian unit tidak akan sama bagi setiap urusniaga dalam tempoh masa yang pendek itu, namun perbezaannya tidaklah besar.

Namun begitu, dalam tempoh kitaran pasaran yang lebih panjang, anda mungkin akan menempuh pasaran naik dan pasaran turun, dengan harga sekuriti tertentu mengalami perubahan yang besar. RCA akan menolong memastikan kos purata seunit anda mewakili kedua-dua premium pasaran naik dan diskaun pasaran turun, berbanding dengan hanya premium yang biasanya dibayar oleh pelabur dalam pasaran naik.

PETUA UNTUK ANDA BERMULA


“Mereka yang menyertai program pelaburan akan mempunyai lebih banyak wang
apabila mereka bersara daripada mereka yang tidak menyertainya langsung.”
- Penulis kewangan Australia, Noel Whittaker. 

Banyak dana unit amanah membenarkan anda mula melabur dalam jumlah minimum dengan pilihan untuk membuat caruman lagi melalui potongan tetap daripada gaji atau akaun bank anda.

Jika anda berminat dengan RCA, berikut ialah beberapa petua untuk menolong anda menjadikan strategi ini bermanfaat kepada anda:

$ Bermula secepat mungkin. Semakin lama anda perlu mengharungi turun naik pasaran, semakin banyak peluang yang anda ada untuk membina akaun yang besar.

$ Terus menggunakannya (konsisten). RCA adalah strategi jangka panjang. Pastikan anda mempunyai sumber kewangan dan disiplin untuk melabur secara berterusan dalam segala jenis pasaran, tanpa menghiraukan turun naik harga.

$ Ambil kesempatan ke atas potongan automatik. Caruman pelaburan secara potongan gaji atau potongan akaun bank kita merupakan kaedah yang mudah dan senang untuk melabur, dan boleh menolong kita menanamkan tabiat melabur secara tetap.

$ Bersedia menghadapi kerugian. RCA tidak menjamin bahawa portfolio kita sentiasa untung sahaja dan tiada kerugian. Walaupun kita membayar kos purata yang lebih rendah daripada harga purata unit, kita masih boleh mengalami kerugian jika kita memilih masa yang tidak sesuai untuk keluar dari pasaran, terutamanya ketika harga rendah.

Membina kekayaan dengan melabur dalam unit amanah adalah lebih kepada soal kesabaran dan kegigihan daripada soal kemahiran pelaburan dan nasib. Keputusan besar yang mesti dibuat ialah sama ada kita sanggup melepaskan kepuasan serta-merta untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang kita. Jika kita sanggup, maka RCA boleh menjadi cara yang sangat berkesan untuk menolong kita mencapai matlamat kita itu.


Boleh hubungi saya bila anda perlukan penjelasan lagi.
019-2896117




TAK MAHU KETINGGALAN INFO?

Name

Email *

Message *

Klik Like jika anda rasa blog ini bermanfaat :) TQ.









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RuzanaIbs.com Copyright © 2015. Design by MaiGraphicDesign